Northrop Grumman Shipbuilding

Newport News Shipbuilding (NNS), sebuah divisyen bagi Huntington Ingalls Industries, merupakan majikan industri terbesar di Virginia, dan juga pereka, pembina dan penyedia bahan api tunggal bagi kapal pengangkut pesawat dan salah satu daripada dua syarikat yang membina kapal-kapal selam kepada Tentera Laut Amerika Syarikat. Syarikat ini diasaskan sebagai Chesapeake Dry Dock and Construction Co. pada tahun 1886. Newport News Shipbuilding telah membina lebih daripada 800 buah kapal termasuk kapal-kapal tentera laut dan komersial. Ia terletak di bandar Newport News, dengan luas keseluruhan fasilitinya seluas lebih 550 ekar (2.2 km2). Lokasinya sangat strategik di salah sebuah pelabuhan besar di pantai timur.

Limbungan ini merupakan majikan utama (majikan industri terbesar di Komonwel Virginia) bukan hanya di hilir Semenanjung Virginia, tetapi juga di kawasan Hampton Roads iaitu di selatan Sungai James dan pelabuhan, kawasan Semenanjung Tengah, dan juga timur laut kaunti Carolina Utara.

Limbungan ini membina kapal-kapal pengangkut pesawat USS Gerald R. Ford (CVN-78)[1] dan USS John F. Kennedy (CVN-79).[2] Ia juga sedang membina kapal selam Kelas Virginia iaitu USS Indiana (SSN-789) dan USS Washington (SSN-787).

Pada tahun 2013, Newport News Shipbuilding mula menyahaktifkan kapal pengangkut pesawat pertama, USS Enterprise (CVN-65),[3] yang mana juga telah dibina oleh mereka.

Newport News Shipbuilding juga melakukan kerja-kerja penukaran bahan api dan penyelenggaraan ke atas kapal pengangkut pesawat Kelas Nimitz. Ia merupakan program pembaharuan kapal selama empat tahun yang bukan hanya melibatkan penukaran bahan api untuk reaktor nuklear, tetapi juga kerja-kerja pemodenan. Limbungan ini telah menyiapkan kerja-kerja ke atas empat buah kapal pengangkut pesawat kelas Nimitz iaitu (USS Nimitz, USS Dwight D. Eisenhower, USS Carl Vinson dan USS Theodore Roosevelt). Setakat bulan Mei 2016, kerja-kerja sedang dilakukan ke atas kapal kelima iaitu USS Abraham Lincoln.[4]

  1. ^ "Gerald R. Ford (CVN 78) Christening Ceremony November 9, 2013". Dicapai pada 4 August 2013.
  2. ^ "John F. Kennedy (CVN 79) Scheduled for Delivery 2020". Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-06-02. Dicapai pada 4 August 2013.
  3. ^ "HII Awarded $745 Million Contract to Inactivate USS Enterprise (CVN 65)". Dicapai pada 28 June 2013.
  4. ^ "Refueling and Complex Overhaul (RCOH)". Newport News Shipbuilding. Huntington Ingalls Industries, Inc. Dicapai pada 4 June 2016.

From Wikipedia, the free encyclopedia · View on Wikipedia

Developed by Tubidy